BAHAYA GULA BERLEBIHAN KEPADA KANAK-KANAK

BAHAYA GULA BERLEBIHAN

APAKAH ITU GULA?

Gula merupakan karbohidrat ringkas yang dapat membekalkan sumber tenaga segera,berupaya menambah kalori dalam tubuh badan dan seterusnya memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Gula terbahagi kepada 2 jenis, iaitu gula semulajadi dan gula tambahan. Gula semulajadi merupakan gula yang diperolehi daripada sumber makanan semulajadi seperti sayuran-sayuran dan buah-buahan. Gula tambahan pula merupakan gula tebu yang diproses dan ditambah dalam makanan mahupun minuman harian kita. Kebiasaannya, gula tambahan ini tidak memberikan khasiat, tetapi akan menambah rasa manis pada bahan makanan ataupun minuman kita seperti yang terdapat pada gula-gula,coklat,roti,sos,kicap mahupun susu formula dan makanan bayi.

Gula tambahan ini juga biasanya dikenali dengan nama seperti glukosa,fruktosa,laktosa,maltosa,sukrosa,molases dan pelbagai jenis sirap.

BAHAYA PENGAMBILAN GULA BERLEBIHAN!

  • Kanak-kanak Menjadi Agresif

Gula berlebihan yang diperolehi oleh kanak-kanak melalui makanan ringan seperti gula-gula, coklat, candy dan air manis misalnya akan menyebabkan kanak-kanak memiliki tenaga segera yang berlebihan. Dengan tenaga berlebihan inilah yang akan menyebabkan mereka menjadi sangat agresif dan sukar dikawal. Jika dibiarkan, dikhuatiri sikap ini akan mempengaruhi pembentukan peribadi kanak-kanak ini apabila membesar nanti.

Sebagai ibubapa yang sangat mementingkan kesihatan dan pembentukan sahsiah yang baik di kalangan anak-anak kita, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengawal pengambilan makanan mahupun minuman harian mereka supaya tidak mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Harus diingat, anak yang aktif adalah satu sikap semulajadi yang lumrah, dan anak yang aktif biasanya dapat mendengar arahan dengan baik dan boleh mengawal emosinya jika dibimbing dengan sempurna. Tetapi, apa yang merisaukan ialah, jika mereka bertindak agresif dan sukar dikawal akibat pengambilan gula berlebihan ini.

  • Kanak-kanak Mengalami Karies Gigi

Selain itu, pengambilan gula berlebihan di kalangan kanak-kanak juga akan menyebabkan kerosakan gigi seperti karies gigi seawal umur 5 tahun. Maka, pendedahan terhadap pentingnya memelihara kesihatan gigi perlu menjadi keutamaan ibubapa hari ini untuk mengatasi situasi ini. Sebaiknya, galakkan kanak-kanak ini memberus gigi setiap kali mengambil makanan ringan yang manis seperti gula-gula dan coklat. Jika tidak, sisa makanan manis ini akan mudah melekat pada gigi mereka dan menyumbang kepada pembentukan karies gigi.

  • Kanak-kanak Mengalami Obesiti

Kanak-kanak yang gemar menikmati makanan yang manis juga akan mudah mengalami obesiti kerana tubuhnya mengandungi lemak yang berlebihan. Lemak berlebihan yang terdapat pada tubuh mereka tidak dapat dibakar dengan sempurna jika mereka kurang melakukan aktiviti fizikal.

  • Kanak-kanak Mudah Menghidapi Diabetes

Kini, diabetes atau kencing manis tidak mengenal usia. Jika rutin harian kanak-kanak ini menikmati makanan dan minuman yang manis, maka jika ia diambil secara berlebihan, pastinya mereka juga terdedah kepada risiko diabetes. Diabetes ini merupakan salah satu penyakit yang sangat berbahaya kerana ia juga akan mengakibatkan kerosakan saraf dan menggangu fungsi buah pinggang dalam jangka masa yang panjang. Dikhuatiri juga, dengan memiliki penyakit ini pada usia yang terlalu muda akan menjejaskan keseluruhan fungsi tubuh badan kanak-kanak ini suatu hari nanti.

TINDAKAN YANG PERLU DILAKUKAN:

  1. Ibubapa boleh memberikan makanan ringan seperti gula-gula, coklat dan minuman manis kepada anak-anak, tetapi ia perlu dikawal dan elakkan diambil secara berlebihan.
  2. Galakkan anak-anak ini mengamalkan minum air kosong dalam rutin harian mereka. Sebaiknya, bekalkan anak-anak ini dengan air kosong jika mereka ke sekolah.
  3. Ceritakan kepada anak-anak apakah risiko-risiko yang akan dihadapi oleh mereka jika mengambil gula berlebihan. Contohnya, kongsikan gambar kesan pesakit diabetes, gambar kanak-kanak obesiti dan kanak-kanak yang mengalami kerosakan gigi. Adakah mereka gembira jika menghadapinya?
  4. Gantikan pencuci mulut di rumah dengan buah-buahan yang mengandungi gula semulajadi yang tidak membahayakan kesihatan. Maklumkan kepada mereka bagaimana buah-buahan ini dapat memelihara kesihatan mereka berbanding makanan-makanan ringan yang mengandungi banyak kandungan gula tambahan yang tidak diperlukan oleh tubuh badan.
  5. Jadikan pengambilan makanan-makanan yang manis ini sekali sekala sahaja. Jika anda ingin menyediakan kuih muih atau kek sebagai pencuci mulut di rumah, pastikan ianya tidak terlalu manis dan amalkan anak-anak meminum air kosong yang lebih banyak ketika itu.

Sekian dahulu perkongsian kali ini. Semoga ia memberi manfaat buat semua. Sentiasalah kita bersederhana dalam apa jua yang kita amalkan.

~Fieda Roni~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *