KEKUNINGAN PADA BAYI YANG PERLU DIKETAHUI & CARA MERAWATNYA

Kekuningan atau “jaundice” pada bayi yang baru dilahirkan merupakan satu kebimbangan buat ibubapa. Bagi saya, kebimbangan ini sememangnya akan ada walaupun bukan kali pertama menghadapinya. Tetapi, kita jangan terlalu panik. Saya juga mengalami situasi yang sama ketika kelahiran anak keempat hampir 3 bulan yang lalu. Walaupun anak saya yang ketiga (dilahirkan pada tahun 2011)pernah mencapai tahap kuning yang agak tinggi pada hari kelima kelahirannya, tetapi dengan rawatan fototerapi di sebuah hospital swasta selama lebih kurang 30 jam dan melalui bantuan penyusuan ibu yang kerap dilakukan, alhamdulillah, bacaan kuningnya telah menurun dengan baik dan hanya memerlukan pemantauan di rumah sahaja. Rawatan susulan terhadap tahap kuningnya pula hanya perlu dilakukan lagi apabila bayi berusia sebulan.

kuning

Berbeza dengan situasi kuning anak keempat saya ini,keadaan kuningnya sangat membimbangkan dan berlaku bacaan kuning yang turun naik dalam tempoh seminggu kelahirannya. Malahan, bayi saya ini juga dikenalpasti mengalami kekuningan ini seawal hari kedua kelahirannya, dengan alasan berlakunya beberapa faktor berikut :

a) ibu berdarah “O” dan anak yang dilahirkan memiliki darah yang berbeza dengan ibu
b) lagi banyak kelahiran anak, maka kecenderungan untuk anak seterusnya mendapat kuning yang tinggi adalah pasti
c) ibu mungkin tersalah makan – makan halia, lada hitam, kunyit (tapi, doktor yang merawat anak saya mengatakan tiada fakta rasmi yang benar-benar mengesahkannya)

Jadi, sebelum saya berkongsi beberapa alternatif merawat masalah bayi kekuningan ini, kita lihat apa yang dimaksudkan dengannya.

APA ITU KEKUNINGAN PADA BAYI?

Menurut tulisan Dr Zubaidi, kekuningan adalah fenomena normal yang berlaku apabila darah pada bayi menjadi rosak atau pecah dan dicernakan oleh organ hati. Pencernaan dan penguraian dalam darah ini akan menghasilkan bilirubin.
Kebiasaannya, kesemua bilirubin ini dapat disingkirkan melalui najis.Tetapi, apabila terlalu banyak darah yang rosak dan pecah serta diuraikan secara serentak pada satu masa, tahap bilirubin dalam darah akan meningkat dalam darah. Peningkatan bilirubin inilah yang dapat dikesan melalui kekuningan pada tubuh bayi.

Kebiasaannya, tahap kuning bayi ini akan cepat berkurangan apabila si bayi kerap menyusu. Lebih kerap bayi susu ibu, maka lebih kerap bayi akan buang air besar, maka akan lebih cepat bilirubin ini disingkirkan.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN UNTUK MERAWAT KEKUNINGAN BAYI INI?

1. Tingkatkan usaha menyusukan bayi, sebaik-baiknya dengan susu ibu
2. Ibu makan anggur hitam
3. Ibu minum susu kambing

4. Ibu elakkan mengambil jamu/herba untuk sementara waktu,amalkannya hanya selepas bayi anda sembuh dari kuning sahaja. Tapi, untuk membekalkan tenaga boleh amalkan pengambilan madu & untuk mempercepatkan pemulihan luka & pengecutan rahim, boleh amalkan pengambilan minyak kelapa dara
5. Ibu banyakkan minum air putih
6. Mandikan bayi dengan air rebusan daun dukung anak

Bagi membantu ibu meningkatkan penghasilan susu ibu, ibu boleh cuba panduan berikut :
1. Tingkatkan pengambilan sayuran seperti pucuk turi,lobak putih dan sawi – biasanya dimasak tumis air atau masak lemak, rencah ikan bilis tumbuk + bawang
2. Amalkan makan buah-buahan seperti oren sunkist & epal sebelum makan setiap hari – *tips tambahan: air perahan sebiji oren sunkist + 1 sudu teh madu; dijadikan 1 cawan, diminum suam2 sebelum sarapan di pagi hari sepanjang tempoh berpantang pula dapat membantu membekalkan tenaga & memudahkan proses pelawasan ibu
3. Amalkan minum susu untuk membekalkan tenaga ibu – *susu kambing kurma lazz menjadi pilihan saya & saya minum 2x sehari ketika sarapan pagi & sebelum tidur malam untuk menggalakkan penghasilan susu ibu
4. Amalkan pengambilan oats – saya amalkan 3in1 nestum oats ketika minum pagi

Diharap ibu yang baru melahirkan anak dapatlah manfaat daripada coretan kali ini. Semoga ibu semua terus kuat dalam melayari kehidupan sebagai seorang yang bergelar ibu. Sentiasa positif ok😃

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *